JPPKK PACU PEMBANGUNAN PENDIDIKAN TVET NEGARA
- Details
- Pentadbir Web
- Hits: 41
JPPKK PACU PEMBANGUNAN PENDIDIKAN TVET NEGARA
PORT DICKSON, 8 Januari 2025 - Satu lagi pencapaian penting dalam agenda pembangunan pendidikan tinggi negara menerusi penyerahan Surat Pemakluman Projek Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) 𝘙𝘰𝘭𝘭𝘪𝘯𝘨 𝘗𝘭𝘢𝘯 (RP5) Tahun 2025 kepada Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) pada satu majlis yang berlangsung di Dewan Wawasan Politeknik Port Dickson (PPD), di sini, hari ini. Majlis disempurnakan oleh YBhg. Datuk Mohamad Azhan bin Md. Amir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Peruntukan pembangunan (DE) di bawah Belanjawan RMKe-12, RP5 Tahun 2025 telah diluluskan kepada Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) sebanyak RM431,978,800 melibatkan 70 projek sambung dan 41 projek baharu yang terdiri daripada projek-projek pembangunan kampus baharu, perolehan tanah bagi kampus baharu, perolehan peralatan baharu, penggantian peralatan akademik usang, pembinaan tambahan bangunan, pembangunan digital bagi seluruh POLYCC dan sebagainya.
Projek-projek ini dijangka dapat menyokong aspirasi pemerkasaan TVET negara seperti yang digariskan dalam Dasar TVET Negara serta Pelan Transformasi Politeknik 2023-2035 dan Rancangan Pemerkasaan Kolej Komuniti.
Turut dilancarkan hari ini adalah Rancangan Pembangunan POLYCC 10 Tahun (2026-2035) yang memberikan hala tuju strategik bagi memperkukuh peranan POLYCC dalam ekosistem TVET negara, seterusnya menyumbang kepada pembangunan tenaga kerja mahir negara.
Rancangan tersebut adalah penting bagi menjadikan POLYCC sebagai pusat kecemerlangan TVET bertaraf dunia melalui Rancangan Utama iaitu 9 𝘉𝘪𝘨 𝘗𝘭𝘢𝘯𝘴 antaranya perancangan holistik secara sistematik yang memberi fokus kepada pembangunan program TVET yang mampan, penyediaan ruang-ruang baharu yang kondusif dan perolehan peralatan yang menyokong perkembangan teknologi terkini.
Hadir sama adalah YBhg. Dato' Dr. Haji Mohd Zahari bin Ismail, Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (KPPK), barisan Pengurusan Tertinggi JPPKK, delegasi KPT serta Pengarah-pengarah POLYCC.