Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan keizinanNya, saya diberi kesempatan dan peluang untuk menerajui kepimpinan Politeknik Port Dickson (PPD) mulai 1 Disember 2023.

Justeru itu, di kesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Datang dan terima kasih atas kesudian tuan/puan melayari Portal Rasmi Politeknik Port Dickson (PPD). Portal ini disediakan sebagai salah satu medium komunikasi antara warga kerja PPD dan para pelajar serta berfungsi sebagai platform interaksi bersama komuniti.

Politeknik Port Dickson merupakan salah sebuah institusi peneraju TVET dan telah menjadi IPTA yang terulung dalam melahirkan graduan yang serba boleh dalam bidang teknikal dan vokasional di daerah, maupun negeri ini. Kemunculan dan keterlihatan PPD dengan pelbagai aktiviti dan program telah melonjakkan nama PPD di dalam dan luar negara, hasil jaringan kerjasama dengan pihak luar. Segala kejayaan yang dicapai telah dapat mengharumkan nama PPD, seterusnya Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Pendidikan Tinggi secara amnya.

Usaha menjayakan peranan PPD sebagai peneraju TVET amat bergantung kepada kekuatan modal insan yang terdiri daripada para pelajar dan para pensyarah. Insya Allah dengan komitmen dan kerjasama serta kesungguhan kedua-dua elemen ini, akan dapat melonjakkan lagi kegemilangan PPD selaras dengan Transformasi Pendidikan Negara ke arah teknologi IR 4.0.

PPD sentiasa komited dan bersedia memberi perkhidmatan yang cemerlang dan berkualiti, selari dengan hasrat untuk membina persekitaran pembelajaran TVET yang kreatif dan inovatif. Kelestarian PPD sebagai peneraju TVET yang unggul perlu dikekalkan, sesuai dengan imej institusi TVET yang premier dan berprestij, seiring dengan Transformasi Politeknik 2023–2030.

Sikap kekitaan dan kesepunyaan menjadi teras ke arah pencapaian kecemerlangan bersama bagi memastikan negara mempunyai modal insan yang holistik, kompeten teknologi dan kalis masa hadapan.

Kepada semua pelayar internet, saya amat mengalu-alukan perkongsian maklumat yang boleh membantu mempertingkatkan kualiti perkhidmatan kami di Politeknik Port Dickson (PPD) untuk manfaat kita bersama.                                                           

Sekian, terima kasih.

 

HAJI HASAN BIN MOHD SHARIF B.C.M, P.J.K.

Pengarah

Politeknik Port Dickson

Kementerian Pendidikan Tinggi