TVET MADANI - MAJLIS PENYERAHAN PERALATAN LATIHAN DAN PERASMIAN HINO CORNER
- Details
- Pentadbir Web
- Hits: 52
TVET MADANI - MAJLIS PENYERAHAN PERALATAN LATIHAN DAN PERASMIAN HINO CORNER
Politeknik Port Dickson, diiktiraf sebagai Institusi TVET No.1 Asia Pasifik dengan pengiktirafan Platinum oleh Asia Pacific Accreditation Commission and Certification (APACC), melakar satu lagi pencapaian penting melalui Majlis Penyerahan Peralatan Latihan dan Perasmian HINO CORNER. Inisiatif ini merupakan langkah strategik dalam memperkukuh agenda TVET Madani yang menekankan pembangunan graduan berkemahiran tinggi dan profesionalisme dengan imbuhan gaji progresif.
Majlis ini dihadiri oleh Mr. Hiroshi Takahashi, Managing Director HINO MOTORS SALES (Malaysia) Sdn. Bhd., Tuan Haji Ahmad Yasmin Bin Yahya, Director/Chief Operating Officer HINO MOTORS SALES (Malaysia) Sdn. Bhd., serta tetamu kehormat, Puan Hilmun Binti Mohamed, Pengarah Bahagian Peperiksaan dan Penilaian, Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Kementerian Pendidikan Tinggi. Turut hadir Ts. Dr. Engku Shahrulerizal Bin Engku AB Rahman, Timbalan Pengarah Akademik, Politeknik Port Dickson.
Majlis ini turut menyaksikan Politeknik Port Dickson menandatangani Letter of Intent dengan HINO (Malaysia), sebagai bukti komitmen untuk memantapkan kemahiran pelajar dan pensyarah serta meningkatkan kebolehpasaran graduan dengan jaminan gaji progresif. Perjanjian ini, yang ditandatangani oleh Tuan Haji Hasan Bin Mohd Sharif, Pengarah Politeknik Port Dickson, dan Mr. Hiroshi Takahashi bagi pihak HINO, meliputi pelbagai inisiatif seperti latihan kemahiran, program apprantis, penyelidikan bersama, dan sangkutan industri untuk pelajar.
Sebagai simbolik kepada kerjasama ini, HINO (Malaysia) menyerahkan dua unit enjin diesel, satu unit differential axle, dan satu unit gearbox bernilai lebih RM100,000. Peralatan ini ditempatkan di HINO CORNER, Bengkel Automotif Politeknik Port Dickson, yang akan menjadi pusat latihan utama untuk memperkasakan pembelajaran pelajar dalam Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif. Melalui sumbangan ini, pelajar berpeluang mengakses teknologi terkini dalam industri, memperkukuh kemahiran dan memastikan kebolehpasaran yang tinggi dengan potensi gaji progresif, selaras dengan aspirasi TVET Madani untuk meningkatkan taraf hidup graduan.
HINO (Malaysia) turut menawarkan program latihan industri melalui Hino Technical Internship Program (HTIP) yang bermula pada tahun 2023.
Program ini menyediakan latihan intensif dan laluan kerjaya bagi pelajar Politeknik Port Dickson, di mana sebahagian daripada mereka telah diserap sebagai kakitangan tetap di HINO (Malaysia) dengan gaji progresif. Langkah ini adalah sebahagian daripada komitmen HINO (Malaysia) untuk meningkatkan nilai graduan TVET agar mampu memberi sumbangan besar kepada sektor industri.