Majlis penutup perasmian program Inbound Mobility yang berlangsung pada 12 September 2024 telah dihadiri oleh Pengarah Politeknik Port Dickson (PPD), Tn. Hj. Hasan bin Mohd Sharif, serta tetamu kehormat termasuk Timbalan Pengarah (Akademik), Ts. Dr. Engku Shahrulerizal bin Engku Ab Rahman; Ketua Jabatan Kejuruteraan Awam, En. Sadli bin Abdllah; Ketua Jabatan Kejuruteraan Elektrik, En. Izwan Kamal bin Abdul Wahab; Ketua Jabatan Perdagangan, Pn. Rohana binti Mat; Ketua Jabatan Matematik, Sains dan Komputer, En. Mohamad Zamri bin Muhamad; Ketua Jabatan Pengajian Am, Puan Umi Syahidah binti Anuari; serta Ketua Delegasi UINSU, En. Benni Ichsanda Rachman Hz.
 
Dalam ucapan penutupnya, Tn. Hj. Hasan bin Mohd Sharif menekankan kepentingan program mobiliti dalam mengukuhkan hubungan antara Politeknik Port Dickson dan Universitas Islam Negeri Sumatera Utara (UINSU). Beliau juga memuji kerjasama erat yang telah terjalin di antara kedua-dua institusi dan berharap agar lebih banyak program seperti ini dapat diadakan pada masa akan datang. Program ini menurut beliau, bukan sahaja memperkaya pengalaman akademik, tetapi juga aspek budaya dan sosial pelajar. Tn. Hj. Hasan turut menyatakan harapan agar para peserta dapat memanfaatkan sepenuhnya pengalaman ini dan terus menjalin persahabatan yang kukuh.
 
Majlis disempurnakan dengan persembahan tradisional oleh pelajar UINSU, diikuti dengan sesi penyampaian hadiah dan sijil penghargaan kepada para peserta serta penyelaras program. Setelah selesai acara rasmi, tetamu jemputan dan para peserta dijemput menikmati jamuan makan tengahari yang telah disediakan.