Isnin, 02 September 2024
 
Majlis Perasmian Program Pembangunan TVET 2024 telah berlangsung di Dewan Wawasan, Politeknik Port Dickson. Majlis ini telah dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat, Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin bin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan dan disaksikan oleh Ts. Abdul Razak bin Sabtu, Pengarah Kanan (Kompetensi), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komunuti (JPPKK), Yang Berhormat Datuk Mohd Faizal bin Ramli Exco Kerajaan Negeri Sembilan, Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital, Yang Berbahagia Tan Sri (DR.) Abu Kassim Mohamed, Pengerusi Koperasi Kebuniti Selangor Berhad (KOBUNITI), YBrs. Encik Rusli bin Jaafar- Ahli Lembaga Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Dato' Haji Mohd. Alias - Pengerusi Angkasa Selangor, En. Shahrizan bin Rosli, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Sembilan, En. Zahir bin Dahari, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Selangor dan Yang Berusaha Tuan Haji Hassan bin Mohd Sharif, Pengarah Politeknik Port Dickson.
 
Pihak Politeknik Port Dickson dengan Koperasi Kebuniti Selangor Berhad (KOBUNITI) merupakan rakan kolaborasi bagi perlaksanaan program ini. Selain itu, program yang dirancang ini bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan, serta kemahiran menyelesaikan masalah dan menambah pengalaman di samping meningkatkan keyakinan pelajar dalam menceburi bidang pertanian moden. Pelancaran Program Penjana KPT-Cap Siri Kedua diadakan di Politeknik Port Dickson adalah merupakan program inisiatif penting kerajaan dalam usaha menangani cabaran kebolehpasaran graduan serta mengurangkan pengangguran yang disebabkan oleh pandemik covid-19.
 
Taklimat berkaitan program ini disampaikan oleh Profesor Ir. Ts. Dr. Mohamed Thariq Hameed Sultan selaku Pengerusi KOBTC. Program ini juga menyaksikan sesi menandatangani Letter of Intent (LOI) di antara pihak Politeknik Port Dickson dengan Koperasi Kebuniti Selangor Berhad (KOBUNITI). Antara objektif surat hasrat ini adalah untuk membuka peluang dalam perkongsian kepakaran, peralatan dan kemudahan fasiliti. Di samping membentuk kerjasama dalam membangunkan program pembangunan TVET.