9 Mei 2024 | Khamis

Balai Cerap Teluk Kemang melalui Jabatan Matematik, Sains dan Komputer telah menjemput warga Politeknik Port Dickson ke Seminar Kefahaman Falak sempena Hilal Zulkaedah di Kompleks Baitul Hilal, Teluk Kemang.
 
Seramai 20 peserta terdiri daripada para pelajar dan staf Politeknik Port Dickson telah mengikuti seminar ini. Program ini turut disertai oleh pelajar-pelajar dari Universiti Malaysia.
 
Seminar bermula tepat jam 5.00 petang di mana para peserta diberikan sedikit perkongsian ilmiah berkaitan dengan penentuan awal bulan hijri di Malaysia yang disampaikan oleh Dr. Mohd Hafiz Safiai dari Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.
 
Setelah itu, para peserta berpeluang merasai pengalaman mendirikan alat cerapan dan meneropong anak bulan melalui alatan yang disediakan. Keadaan cuaca yang baik telah turut membolehkan para peserta untuk mencerap anak bulan secara mata kasar.
 
Pencerapan anak bulan ini adalah penting bagi umat islam bagi menentukan hari baharu bulan berikutnya. Rata-rata para peserta dalam kalangan pelajar merasa puas dan gembira kerana berpeluang melakukan pencerapan dan mengaitkannya dengan ilmu matematik dan kejuruteraan yang dipelajarinya.
 
Semoga hasil kerjasama strategik ini akan dapat diteruskan lagi di masa-masa akan datang agar warga Politeknik Port Dickson mendapat manfaatnya.