Pada 4 & 5 Mei 2024 (Sabtu & Ahad) yang lalu, satu Kursus Asas Astrofotografi telah diadakan bersama dengan ahli Kelab Astronomi Politeknik Port Dickson. Seramai 18 orang ahli kelab telah terlibat dan diringi oleh Puan Nur Hafezah binti Md Yasin dan Puan Roswani Ab Rahman.
 
Tujuan program ini dijalankan adalah untuk memberi pendedahan kepada semua ahli kelab tentang kaedah dan cara yang betul untuk mengambil gambar bagi cerapan malam . Aktiviti ini dianjurkan oleh Kompleks Baitul Hilal, Majlis Agama Negeri Sembilan (MAINS).
 
Program ini bertempat di PD Forest Port Dickson, Negeri Sembilan. Antara aktiviti yang telah dilaksanakan antaranya adalah ceramah tentang konsep asas fotografi semasa cerapan malam, pengenalan peralatan cerapan, lawatan ke Dataran Astronomi, melaksanakan aktiviti cerapan malam dan pertandingan gambar terbaik.
 
Acara kemuncak adalah apabila ahli kelab melakukan cerapan malam bermula jam 10 malam sehingga 5 pagi bagi mencerap hujan meteor yang terdapat di langit sekaligus mengambil gambar mengikut teknik yang betul.
Semoga semua ahli kelab mendapat manfaat yang berguna dalam teknik cerapan dan kaedah yang betul dalam mengambil gambar sewaktu cerapan.