Festival Senibina Warisan POLYCC (PEWARIS) 2025 melabuhkan tirainya dengan penuh gemilang apabila menerima sambutan luar biasa seramai 3,543 orang pengunjung sepanjang program berlangsung. Majlis penutupan yang diadakan di Dewan Wawasan dan Rumah Warisan Hajah Kundur, Politeknik Port Dickson telah dirasmikan oleh YB Datuk Khairul Firdaus Bin Akbar Khan, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.
Dalam ucapannya, YB Timbalan Menteri menegaskan bahawa warisan seni bina Melayu perlu terus dipelihara dan diperkenalkan kepada generasi muda agar menjadi sumber identiti dan kebanggaan bangsa.“Warisan seni bina Melayu bukan sekadar khazanah fizikal, tetapi lambang identiti dan jati diri bangsa. Penganjuran PEWARIS 2025 adalah bukti kesungguhan Politeknik Malaysia dalam memastikan warisan budaya kita terus dihargai, dipelajari dan diwarisi oleh generasi akan datang,” katanya.
Majlis penutupan turut diserikan dengan nyanyian Lagu Negaraku, persembahan kebudayaan, gimik perasmian, tayangan montaj, penyampaian hadiah dan cenderahati, nyanyian lagu Politeknik serta sesi bergambar.
Program diteruskan dengan lawatan ke Rumah Warisan Hajah Kundur sebelum diakhiri dengan jamuan minum petang bersama para jemputan. Festival PEWARIS 2025 bukan sahaja mengangkat seni bina tradisional Melayu, malah membuktikan peranan Politeknik Malaysia dalam memperkasakan warisan negara ke peringkat yang lebih tinggi.

 

Siaran Rakaman Majlis Perasmian Pe'Waris 2025 Politeknik Port Dickson - https://www.youtube.com/live/AECbPV_J8W0

 

Terima kasih kepada yang menjayakan program.