PORT DICKSON, 23 April 2026 – Politeknik Premier Port Dickson melalui Jabatan Kejuruteraan Awam telah berjaya menganjurkan SYNC Summit 2.0 yang menghimpunkan seluruh warga institusi bersama kepimpinan tertinggi Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti.
Program ini diserikan dengan kehadiran YBrs. Dr. Shamsuri Abdullah, Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, bersama barisan pengurusan tertinggi Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti.
Mengangkat tema Kecerdasan Buatan dan Kelestarian Hijau, penganjuran kali ini memberi penekanan kepada keseimbangan antara kemajuan teknologi dan pemeliharaan alam sekitar selaras dengan aspirasi pembangunan negara. Pendekatan ini turut diterjemahkan melalui konsep penganjuran yang menggabungkan elemen digital dan persekitaran hijau sebagai simbol keharmonian antara inovasi dan kelestarian.
Pengarah Politeknik Premier Port Dickson, Tuan Haji Wan Zulkifly bin Wan Zakaria, dalam ucapannya menegaskan komitmen berterusan institusi dalam melahirkan graduan berkemahiran tinggi yang bukan sahaja celik teknologi, malah mempunyai kesedaran terhadap tanggungjawab menjaga alam sekitar.
Dalam amanat khas, YBrs. Dr. Shamsuri Abdullah turut menekankan keperluan warga untuk sentiasa bersedia menghadapi perubahan, memperkukuh kecemerlangan organisasi serta memperhebat agenda pendigitalan pendidikan teknikal negara.
Penganjuran SYNC Summit 2.0 ini memperlihatkan peranan Politeknik Premier Port Dickson sebagai platform strategik dalam memperkukuh komunikasi, menyemarakkan semangat kebersamaan serta memacu kecemerlangan institusi ke arah pembangunan yang mampan.

